Friday, February 28, 2014

Ayam Masak Halia

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Menu yg ringkas lagi. Sebenarnya dah tak tau nak masak apa dngn ayam ni, fikir punya fikir jadilah ayam masak halia yg sangat mudah dan semestinya sedap. Sebelum ni dah pernah masak, terima kasih pd K.Liza penyumbang resepi asal. Sekali lagi saya kongsikan resepinya kat sini. Pada kwn2 yg belum pernah masak tu, boleh cuba resepi mudah ni...


Bahan- Bahan

  • 1/2 ekor ayam (potong kecil, basuh bersih dan toskan)
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan air* 
  • 1 sudu kecil tepung jagung*(*dibancuh bersama)
  • 1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk kasar
  • 1 pokok daun bawang/sup - potong pendek
  • 1 biji buah tomato - belah 4
  • 1/2 btng carrot - ptng kecil
  • minyak utk menumis
  • garam dan sedikit gula
Bahan Hiris
  • 5 cm halia
  • 1 labu  bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 tangkai cili merah
  • 4 tangkai cili padi merah- Yatie tambah
Cara-Caranya
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan hiris sehingga layu.
  2. Masukkan ayam, lada hitam,sos tiram dan kacau rata. Masukkan sikit air dan tutup.
  3. Masakkan ayam sehingga lembut. Masukkan carrot dan gaul sebati.
  4. Masukkan bancuhan tepung jagung. Biarkan sehingga pekat.
  5. Masukkan tomato buah dan daun bawang. Kacau rata.
  6. Tutup api, angkat dan bolehlah di hidangkan.

Thursday, February 27, 2014

Apam Kampung Gula Merah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Rasanya ramai yg suka apam kampung ni kan. Bila sebut apam kampung ni teringat masa kecik2 dulu. Mak kerap betul buat apam ni, kalau buat tu mesti dpt 2 loyang besar. Kami adik2 beradik puas makan apam yg mak buat. Gara2 suka sngt apam tu, sampai skrng saya suka apa2 jenis kuih apam. Pantang betul bila dengar kuih apam je, tetap nak cuba buat dan rasa. Sekarang ni banyak resepi2 apam moden dan hasilnya cantik2....tapi selera kampung saya kuat, sbb tu tetap nak buat juga apam kampung ni. Anak saya pun pelik, kenapa digelar apam kampung. Saya cakaplah sbb ni apam dulu2, mmng makanan orng kampung mcm mama ni...lagipun bahan2nya pun guna tepung gandum yg mmng senang didapati....itu pd pendapat sayalah...kalau nak moden sikit tapi nak rasa yg asli, cuma gantikan warna je..letaklah warna merah ke, hijau ke....barulah nampak moden....kan...Pada peminat apam tu, boleh cuba resepi mudah ni...sedap taw....meh tngk resepinya..




Bahan A
  • 1/2 cwn gula merah*
  • 1/2 cwn gula pasir*
  • 2 cwn air*
  • 2 helai daun pandan*(* di masak dan sejukkan, tapiskan)
Bahan B
  • 11gm yis mauripan
  • 1/2 cwn air suam
  • 1 sudu kecil gulahalus
Bahan C
  • 4 cwn tepung gandum
  • secubit garam
Cara-Cara
  1. Masak bahan2 (A) bertanda* hingga gula larut,tapiskan dan sejukkan.
  2. Dalam bekas lain, bancuh bahan B dan biarkan 5 minit atau sehingga berbuih.
  3. Satukan bahan C ke dlm mangkuk besar dan masukkan sekali air gula yg telah sejuk tadi.(Kacau guna whisk je hingga sebati)
  4. Gaul sebati dan masukkan bahan B tadi. Gaulkan, setelah sebati, tutup dan biarkan perap selama 1 jam.
  5. Lenserkan loyang  10x10x3 inci dngn sedikit minyak dan tuangkan adunan ke dlm loyang dan biarkan selama 10 minit. Kukus adunan selama 40 minit
  6. Biarkan kuih  betul2 sejuk barulah di potong dngn menggunakan pisau tajam dngn cara spt gergaji kedepan ke belakang supaya kuih tak kelihatan mampat.
  7. Sedap di makan bersama kelapa parut putih yg di gaul dngn sedikit garam.
**Saya guna acuan kecil, saya sapukan minyak sekeliling acuan dan tuangkan 3/4 adunan apam yg di perap sejam tadi  ke dlm acuan. Biar sebentar dlm 5 minit dan kukus selama 20 minit.

Wednesday, February 26, 2014

Terung Sambal Udang Kering

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Menu yg paling ringkas tapi menyelerakan sungguh. Kalau lauk mcm ni mmng takyah lauk lain dah....tapi kena masaklah juga. Jangan ikut selera sendiri je kan, sian suami dan anak2...takkan nak makan sambal terung je kan. Pada kita kira ok, pd diaorng...peliklah pulak. Selain sambal terung ni, saya masak ayam halia dan ikan kerisi goreng je.....jadilah kan. Resepi terung sambal udang kering ni saya ambil dari blog Mat Gebu, terima kasih ya Che Mat berkongsi resepi.....tiap2 hari akak singgah blog DTS je...tak kisahlah kan Che Mat, dari singgah rumah Che Mat betul2...tiap2 hari plk tu...sian plk tuan rumah nak sediakan menu sedap2...ni yg singgah blog kemudian masak sendiri...jadilah kan..yg penting di masak penuh kasih sayang dan hasilnya sangat memikat selera. 



BAHAN-BAHANNYA :-)
  • 3 biji terung ungu
  • 5 - 6 biji cili merah
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji buah keras, hiris
  • 1 camca besar udang kering, cuci dan rendam 10 minit
  • 2 biji limau kasturi, perah jusnya
  • Hirisan daun bawang untuk hiasan
  • Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dikerat dua, kemudian belah 4 setiap keratan. Rendam sekejap. Toskan terung, lap dengan kitchen paper towel. Gaul dengan sedikit garam dan goreng hingga lembut tapi jangan sampai lembik. Toskan minyaknya dan letak dalam pinggan sesuai Ketepikan.
  2. Dalam alat pengisar (blender), masukkan bawang merah, bawang putih dan buah keras, tuang sedikit air dan kisar hingga lumat. Masukkan udang kering (toskan) dan kisar sekejap. Tambah cili merah. Kisar hingga cili hancur, tak perlu sampai halus.
  3. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar tadi hingga garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang sambal atas terung, tabur sedikit hirisan daun bawang untuk hiasan. Hidangkan segera..

Tuesday, February 25, 2014

Donut Keledek Ungu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Petang tadi saya buat donut keledek ungu ni gara2 ada lebihan keledek yg di rebus. Alang2 dah ada keledek rebus, saya pun cubalah resepi donut kentang bagi membuat donut keledek ungu ni. Rasanya sedap dan lembut je. Suka betul tngk keledek ungu yg di rebus, warnanya terang...sbb tu saya buat donut ni. Bila dah jadi donut, warnanya jadi mcm pink pulak...tak kisahlah kan, asalkan rasa keledek tu tetap ada. Pada peminat donut tu, bolehlah cuba resepi ni, sblm ni dah cuba juga keledek oren...mmng sedap. Terima kasih pd penyumbang resepi asal Ros Jintanmanis dan saya kopipes dari blog K.Nor.





Bahan-Bahan

  • 500 gram tepung gandum
  • 200 gram keledek ungu yang telah direbus dan dilenyek halus
  • 4 sudu besar susu tepung
  • 1 biji telur ( dipukul sedikit)
  • 200 ml air suam ~ Yatie uli doh guna tangan je, so masukkan air sikit2 ya 
  • 3 sudu besar marjerin/butter
  • 3 sudu besar gula halus
  • 2 sudu kecil yis
Caranya.
  1. Masukkan semua bahan dalam bekas adunan dan uli hingga tidak melekat pada tangan. Pastikan Doh betul-betul lembut, Uli selama 8 hingga 10 minit. Kalau guna BM, tekan ON dan tunggu je siap, kemudian boleh terus bentukkan.
  2. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap dan biar doh naik dua kali ganda. Masa perapan lebih kurang 40 minit atau 1jam.
  3. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin. bahagi doh pada beberapa bahagian kecil dah lubangkan di tengah-tengahnye, seperti bentuk donut. Susun donut di atas dulang dan biarkan sehingga donut naik dua kali ganda.
  4. Goreng di dalam minyak panas sehingga perang, dan salut donut bersama serbuk gula ataupun coklat masakan. Sedia untuk dihidangkan, Selamat Mencuba..
** Cara saya, uli semua bahan2 hingga menjadi doh yg lembut, perapkan dlm 10 minit. Ambil doh sedikit dan bulatkan2 leper, buat sehingga habis. Perapkan lagi dlm 20 minit. Setelah itu, panaskan minyak guna api sederhana. Ambil doh yg telah di leperkan tadi dan tebuk tengahnya guna jari telunjuk je, kemudian tarik2kan sikit supaya cantik lubang tengahnya dan terus goreng. Maksudnya, masa nak goreng baru lubangkan tengahnya supaya cantik je donut tu bulat. Goreng hingga kekuningan dan angkat. Toskan. Bila dah sejuk, salutkan dngn gula halus atau coklat masakan yg di cairkan.

Monday, February 24, 2014

Talam Cendol Seriwarna

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Lama tak buat kuih talam, kebetulan tekak ni teringin sangat nak makan talam cendol atau puding cendol, akhirnya jadilah talam cendol seriwarna. Resepi asal dari Talam Cendol Chef Asma, cuma kali ni saya buat 2 lapis dan 2 perisa bahagian atasnya. Sebelum ni guna gula merah/gula melaka utk adunan atas, kali ni saya guna perisa pandan, perisa ros dan guna adunan Talam Skoteng. Selera sendiri, jadi suka suki jelah letak perisa ikut selera sendiri. Walau suka suki, tapi kuih ni sedap sangat, terasa lemak2 manisnya. Gabungan cendol, perisa ros dan pandan buatkan kuih ni sedap sangat...harum je kuihnya. Pada peminat kuih2 talam tu, bolehlah buat bagi pelbagaikan resepi kuih2 talam dan perisa kegemaran. Jom semak resepinya...





Lapisan bawah
Bahan A
  • 200 gm tepung beras*
  • 1 sudu besar tepung jagung*
  • 250 ml santan pekat*
  • 450 ml air*
  • 150 gm gula caster
  • 1/2 sudu kecil garam
Bahan B
  • 200 gm cendol @ 1 paket kecil-tapiskan,ambil cendolnya je
Cara-Caranya:-
  1. Satukan bahan bertanda (*) dan tapis kedalam periuk. Masukkan bahan lain dibahagian A
  2. Masak bahan A sehingga naik wap (jgn sampai pekat sangat, sekejap sahaja atas api, guna senduk kayu utk mengacau. kacau sentiasa dan bila terdapat ketulan tepung disenduk kayu, tutup api dan guna hand whisk untuk ratakan adunan tersebut)
  3. Angkat dan masukkan cendol. Gaul rata
  4. Masukkan kedalam loyang 10 x 10 x 2 yang telah disapu dengan sedikit minyak dan dialas dengan plastik. Ratakan dan kukus selama 25 minit.
  5. Selepas masak, cakar-cakar sedikit dengan garpu
**Sementara kukus adunan lapisan bawah, kita sediakan bahan2 utk lapisan atas pula.

 Bahan utk Lapisan Atas
  • 150gm tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 250gm gula halus
  • 3 biji telur
  • 250ml santan pekat
  • 500ml air
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 sudu kecil perisa rose dan sedikit pewarna merah
  • 2 sudu kecil perisa pandan dan sedikit pewarna hijau
Cara2nya
  1. Bancuh semua bahan kecuali pewarna dan perisa dan tapiskan.
  2. Bahagikan kepada 2 bahagian dan letakkan perisa dan pewarna setiap bahagian. Satu warna merah dan satu warna hijau. Masak hingga naik wap setiap bahagian dan sentiasa di kacau.
  3. Setelah lapisan bawah (cendol) masak, pastikan tak ada air di permukaan kuih barulah tuang adunan merah dan kukus 15 minit .
  4. Tuangkan adunan hijau pula dan kukus selama 20 minit.
  5. Setelah siap, angkat dan biarkan betul2 sejuk barulah di potong dngn menggunakan pisau plastik supaya kuih kelihatan cantik.
** sebelum menuang adunan lapisan kedua dan ketiga, pastikan tiada air di permukaan kuih. Sekiranya ada, sengetkan loyang dan buangkan air guna tisu atau sudu dulu. Biarkan kuih dlm kedudukan asal, cakar2kan sikit guna garpu barulah tuang adunan seterusnya dan kukus. Ini bagi mengelakkan kuih bahagian tengah lembik. Selamat mencuba....

Sunday, February 23, 2014

Rendang Udang Galah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Pernah makan rendang udang galah tak kwn2 semua? Inilah  kali pertama saya masak dan makan rendang udang galah ni. Biasanya kita masak sambal, 3 rasa ataupun masam manis je, kali ni saje nak rasa kelainannya. Memang sedaplah...tak rugi mencuba, sedap hingga menjilat jari. Terima kasih Che Mat Gebu berkongsi resepinya. Izinkan akak kongsikan resepinya kat sini  ya. Pada kwn2 yg nak merasa tu, bolehlah cuba resepi mudah ni...



Bahan-Bahannya :-)
  • 600 g udang galah (udang lain pun ok juga)2 helai daun kunyit, hiris halus
  • 1 camca besar gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 cawan pati santan
  • 2 camca besar kerisik
  • 8 biji bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 1 cm halia*
  • 1 cm lengkuas*
  • 2 batang serai, dihiris*
  • 3 biji buah keras*
  • 3 biji cili merah (nak pedas boleh tambah cili padi)*\
  • 1 inci kunyit hidup*
  • 1/2 inci belacan*(*dikisar halus)
Cara membuatnya :-)
  1. Udang dibersihkan, perap dengan jus limau dan garam, cuci dan toskan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, gunakan api sederhana. Masak hingga terbit minyak.
  2. Masukkan santan, gula, kerisik dan sedikit garam, gaul rata. Bila mendidih, masukkan udang tadi bersama asam gelugor. Gaul rata dan masak hingga kuah pekat. Rasa dan jika perlu tambah sedikit garam.
  3. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan gaul rata. Terpulang pada individu, samada suka lembap atau kering. Hidangkan bersama nasi hangat, roti atau apa2 saja yang berkenan di hati.....

Friday, February 21, 2014

Karipap Sardin dan Kentang Yg Sedap

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Kali ni buat karipap bulat pula. Kebetulan mood rajin, tu yg buat bulat2 tu. Resepi mmng guna yg selalu tu, mmng sangat mudah, sedap dan rangup je...yg penting karipap ni tak berminyak. Saya ,mmng suka guna resepi ni. Terima kasih pd penyumbang resepi asal, izinkan sekali lagi saya kongsikan resepinya di sini. Kali ni saya buat inti sardin dan kentang....mmng sedap. Pada kwn2 yg tak suka sardin tu, buatlah inti kegemaran ya.



Bahan-Bahan

  • 500gm Tepung gandum
  • 50gm Tepung Beras
  • 50gm Tepung Ubi
  • 1 sudu besar Gula
  • 1 sudu kecil Garam
  • 3 sudu besar Majerin*
  • 1/4 cwn Minyak masak* (* panaskan)
  • 1 cawan air-tuang sikit demi sedikit
Cara menyediakannya
  1. Campurkan kesemua bhn2 kering.
  2. Tuangkan minyak panas & gaul rata.
  3. Tuangkan air sedikit2 sehingga membentuk doh lembut.
  4. Bahagikan doh kpd bebola kecil.
  5. Leperkan & isi dgn inti kegemaran, tutup dan klim kemas2.
  6. Buat sehingga habis. Goreng dgn minyak yg banyak sehingga garing.
    Angkat dan toskan. Saya goreng guna api sederhana je. Karipap ni lebih rangup sekiranya di goreng 2 kali. Walau di goreng lagi, karipap ni tetap tak berminyak. 
Bahan utk inti
  • 1 tin besar sardin
  • 4 biji kentang- kupas kulit dan ptng dadu
  • 4 tangkai lada merah/hijau besar>> dihiris
  • 2 biji bwg besar 
  • 2 ulas bwg putih
  • garam dan gula
  • 2 biji limau kasturi- ambil jusnya je
Cara menyediakan inti - 
  1. Kentang yg di potong dadu di rebus hingga separuh masak, toskan.
  2. Sardin di toskan airnya dan hancur2kan.... ketepikan.
  3. Hiris atau cincang bawang besar dan bawang putih. Tumiskan bhn2 tersebut hingga naik bau. 
  4. Masukkan lada merah dan kacau rata. Kemudian masukkan kentang dan sardin yg di hancurkan, gula dan garam secukup rasa. 
  5. Masukkan sedikit jus limau kasturi dan gaul sebati. Kalau rasa dah ok, bolehlah di angkat dan sejukkan. 
  6. Masak hingga kering sedikit.

Terubok Masin Goreng Tomato Hijau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Menu biasa2 je arini tapi menyelerakan. Suami makan penuh selera, tak sangka menu yg sempoi ini buatkan suami makan bertambah2. Anak2 mcm biasalah tak layan menu mcm ni, lagipun tak sesuai sbb tulangnya banyak, walaupun halus anak2 mmng tak reti nak makan ikan masin terubok ni. Kebetulan suami beli masa kat Sarawak tempohari, saya mmng tak tau nak buat apa dngn ikan masin ni. Selalu goreng mcm tu je, tu pun jarang makan. Bila dah ada ni, kenalah cari resepi yg mudah tapi sedap. Cari punya cari, jumpalah resepi di blog Shahriah Abdullah Masterchef Malaysia. Jangan main2...Shaa ni mmng pandai masak tau, kalau singgah blog beliau buat kita terhibur. Mana taknya selain resepi yg best2 Shaa pandai berbicara..gaya bahasa yg spontan dan selamba buatkan kita suka membaca nukilannya. Shaa ni siapa tak tau kan, beliau merupakan seorang penulis novel yg hebat....Pada siapa2 yg belum singgah blog beliau tu, cubalah singgah.....macam2 ada....Mekasih Shaa berkongsi resepi mudah dan sedap ni. Akak kongsikan resepinya kat sini ya...

 

BAHAN-BAHANNYA :
  • 1 ekor ikan terubok masin
  • 2 sudu besar tepung beras
  • 3 biji tomato hijau- di potong bebaji
  • 6 ulas bawang merah *hiris halus/mayang
  • 4 ulas bawang putih *hiris
  • 3 cm halia muda *potong julien/batang mancis
  • 15 tangkai cili padi siam merah *hiris
  • 3 sudu besar cuka masak
  • 1/2 cawan air
  • gula
  • garam
  • minyak secukupnya
CARA :
  1. Buangkan sisik ikan, potong ikan terubok masin kepada 4 bahagian 
  2. Cuci bersih dan toskan sehingga kering.
  3. Taburkan dengan 2 sudu besar tepung beras dan gaul rata.
  4. Panaskan minyak dan gorengkan ikan masin tadi. Angkat dan toskan di atas tisu dapur. Ketepikan dulu.
  5. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan, bawang merah, bawang putih, halia dan cili padi sehingga layu.
  6. Masukkan air dan cuka renehkan sebentar.
  7. Masukkan gula dan garam.
  8. Masukkan ikan terubok masin dan buah tomato.
  9. Renehkan sebentar, sesuaikan rasa, angkat dan hidangkan!!

Wednesday, February 19, 2014

Bubur Candil Bersama Keledek Oren dan Ungu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Menu biasa2 je arini. Kebetulan teringin sangat nak makan bubur candil. Alang2 nak buat bubur candil, saya campurkan sekali keledek oren dan keledek ungu. Lagipun keledek ni tak boleh di biarkan lama, ada kang bertunas nanti. Bila dah bertunas....alamatlah terbuang gitu je. Bubur candil ni sedap di buat berbuka puasa, kalau makan mcm tu je pun sedap. Kalau dah teringin sangat, takyah tunggu bulan puasa pun boleh. Pada peminat bubur/pengat tu, blehlah cuba...mmng best.


Bahan Utk Bebola Candil
  • 2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • sedikit garam
  • 1 cawan air- tuang sikit2 utk uli tpng jadi doh yg dikehendaki
  • Air secukupnya= utk merebus bubur candil
  • 2 ketul keledek oren *(* kupas dan potong dadu besar-rebus hingga empuk dan toskan)
  • 2 ketul keledek ungu*
Bahan Kuah
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan santan cair
  • 1 ketul gula melaka-racik halus dan masak hingga hancur+1/2 cwn air= tapiskan
  • 1/2 cwn gula pasir
  • 2 helai daun pandan-di simpulkan
Cara-Cara
  1. Rebus keledek oren dan ungu berasingan sehingga empuk. Bila dah empuk, angkat dan toskan.
  2. Sementara itu campurkan tepung pulut, tpng gandum dan sedikit garam ke dlm mangkuk.
  3. Campurkan air sedikit demi sedikit, uli sehingga menjadi doh yg lembut.
  4. Didihkan air dlm periuk, bulat2kan adunan jadi bebola klecil dan rebuslah ke dlm air yg mendidih.
  5. Apabila dah timbul bebola tu, bolehlah angkat dan tapiskan.
  6. Di dalam periuk yg lain, satukan santan cair, masukkan sekali air gula melaka yg sudah di tapis tadi.
  7. Masukkan bebola candil tadi, keledek dan masukkan daun pandan...gaul sebati. Masukkan gula pasir.
  8. Masukkan santan pekat dan gaul sentiasa supaya santan tidak pecah...biarkan mendidih. Setelah siap, matikan api dan bolehlah di hidangkan.

Tuesday, February 18, 2014

Gulai Udang Dengan Tomato Hijau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Malam ni barulah berkesempatan nak kongsikan menu siang tadi. Hari ni masak udang galah, tapi yg saiz sederhana je. Biasanya masak masam manis atau sambal je, kali ni masak lemak pedas pula. Resepi dari Che Mat Gebu, mmng mudah dan sedap. Kalau takde idea nak masak apa, mmng suka skodeng blog DTS...kat sana mcm2 ada...Terima kasih Che Mat berkongsi resepi dan idea masakan. Pd peminat udang tu, bolehlah cuba resepi ni....mmng best. Jom semak resepinya...Resepi asal udang dngn belimbing buluh, tapi kat rumah ni tak berapa gemar belimbing buluh tapi suka sangat dngn tomato hijau...terpulang pd selera masing2 ya..kita buat dia...kita gak yg makan nnti...



BAHAN-BAHANNYA :-)
  • 500 gram udang bersaiz besar
  • 3 biji tomato hijau
  • 2 batang serai, dititik
  • 2 helai daun kunyit, disiat
  • 1/2 inci lengkuas, dititik
  • 1 keping asam gelugor
  • 800 ml santan cair
  • 350 ml pati santan
  • Garam dan secubit gula
BAHAN KISAR HALUS :-)
  • 3 tangkai cili merah
  • 8 biji cili padi (optional)
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 8 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji buah keras
  • 1/2 inci belacan
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, cuci dan toskan. Tomato dibelah 4 setiap biji. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar dalam periuk bersama serai titik, asam gelugor dan gaul rata.
  3.  Masukkan santan cair, kacau dan bila mendidih, masukkan udang. Masukkan tomato hijau dan biarkan hingga udang bertukar warna, masukkan pati santan dan gaul rata.
  4. Tambahkan daun kunyit, garam secukup rasa dan secubit gula. Masak dengan api perlahan sambil dikacau selalu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Sunday, February 16, 2014

Kek Batik Arora

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Petang2 mcm ni sedap layan kek warna warni ni. Kek ni sedap dan lembut je, kena pula di letak 5 perisa dlm kek ni, mmng sedap. Kalau makan kek ni sedap digandingkan dngn teh O panas....perghhhh..mmng best. Sebelum ni mmng ramai kwn2 blogger masakan dah buat kek ni, saya pun pernah mencubanya....mmng sedap sangat. Kebetulan tekak ni teringin benar nak makan kek, tu yg merajinkan diri buat kek yg mudah2 je. Kadang2 kek simple mcm ni yg cepat laku. Terima kasih pd Cida berkongsi resepi ni. Pada kwn2 yg belum mencuba tu, saya cadangkan supaya cuba buat kek yg mudah ni....mmng berbaloi....sedap sngt. Jom semak resepinya dulu...




Bahan-bahan- loyang 8x8 inci
  • 250 gm mentega
  • 100 gm gula castor
  • 3/4 cawan susu pekat manis
  • 6 biji telur gred A
  • 250 gm tepung gandum
  • 2 sudu teh baking powder
  • 5 jenis pewarna dan perisa
Cara-cara
  1. Panaskan oven pada suhu 170 ~ 180 darjah celsius
  2. Griskan loyang dengan butter dan alas dasar loyang dengan baking paper
  3. Satukan tepung gandum dan baking powder, kemudian diayak- ketepikan dulu.
  4. Sementara itu, pukul mentega dan gula sehingga kembang dan memutih
  5. Tambahkan susu pekat manis dan terus pukul hingga adunan sebati
  6. Masukkan telur sebiji demi sebiji( pastikan telur tu dah rata baru masukkan satu biji lagi) hingga habis.
  7. Masukkan campuran tepung dan baking powder tadi ke dlm adunan dan pkl lagi hingga sebati.
  8. Bahagikan adunan kepada 5 bahagian
  9. Letakkan setiap bahagian dengan pilihan perisa dan warna yang disukai. Gaul rata.
  10. Tompok-tompokkan setiap warna dalam loyang hingga habis
  11. Setiap tompokan 1 senduk
  12. Masukkan dalam oven, dan bakar dengan menggunakan api bawah selama 45minit ~ 1 jam.
  13. Atau sehingga kek telah di masak dengan sempurna

Saturday, February 15, 2014

Ikan Kaci masak lemak cekur

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Hari ni saya masak yg mudah je. Resepi main campak2 ikut selera sendiri. Kebetulan ada cekur, mmng sedap kalau masak lemak letak cekur ni. Bau harum je masakan tu. Biasanya kita masak pecel ikan kalau letak cekur ni. Ikan tu pulak kenalah di bakar atau di goreng dulu. Kali ni saya tak bakar sbb nak masak kepala ikan dngn isi2nya sekali. Jadi nak mudah saya masak mcm gulai biasa tu, kita yg buat dia....yg penting sedap dan laku kat rumah ni. Kebetulan kat rumah ni semuanya tak cerewet, apa yg kita masak.....semuanya makan.....Alhamdulillah. Jom tngk resepi mudah ni...


Bahan- Bahan
  • 2 keping kepala ikan kaci / kerachi
  • 3 keping isi ikan kaci/kerachi
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 btng serai- di titik
  • 2 biji buah tomato - di belah 4
  • 2 cwn santan pekat
  • 1 cwn santan cair
  • daun cekur secukupnya- di hiris
  • garam dan sedikit gula
  • 1/2 cwn minyak utk menumis
Bahan Kisar
  • 5 biji bwng merah
  • 1 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 ketul ubi cekur
  • 4 tangkai cili merah
  • 8 tangkai cili padi merah/hijau
Cara- Caranya
  1. Bersihkan ikan, cuci dan toskan.
  2. Panaskan miyak dlm periuk dan tumiskan bahan2 kisar, serai sehingga naik bau.
  3. Tambahkan santan cair dan biarkan mendidih sebentar.
  4. Masukkan asam keping dan ikan. Masukkan pula santan pekat dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan garam dan sedikit gula. Masukkan pula tomato dan hirisan daun cekur Biarkan mendidih lagi.
  6. Perasakan, sekiranya dah cukup rasa, bolehlah matikan api, angkat dan hidangkan.

Thursday, February 13, 2014

Bingka Jagung

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Petang tadi merajinkan diri buat bingka jagung ni. Resepi ni mudah je mcm bingka2 yg lain, cuma tambahkan jagung krim manis je. Pada peminat kuih bingka tu, bolehlah cuba resepi mudah ni. Jom semak resepinya.



Bahan-Bahan-loyang 9x9 inci (dpt 5 keping kuih kalau guna acuan pecah 8)
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 3/4 cawan tepung gandum
  • 1/4 cwn tepung kastard
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 cawan air
  • 2 sudu besar mentega/minyak sapi-cairkan dan sejukkan
  • 4 biji telur
  •  secubit garam
  • 1 tin jagung manis ala krim (cream style golden sweet corn)
  • bijan utk hiasan
  • sedikit pewarna kuning
Cara-Cara:-
  1. Satukan kesemua bahan kecuali jagung krim dan bijan. Kisar sampai sebati.
  2. Tuangkan adunan dlm mangkuk besar dan masukkan jagung krim. Gaul sebati.
  3. Masukkan 1 sudu besar minyak dalam loyang dan sapukan rata. Boleh juga guna mentega.
  4. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak/mentega telah panas, masukkan adunan tadi.
  5. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 15 minit atau sehingga garing.
  6.  Guna api atas dan bawah. Kalau nak garing lagi tambahkan masa dlm 5 minit guna api atas sahaja utk permukaan kuih yg garing.

Saturday, February 8, 2014

Kuih Kaswi - K.Fida

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Hari ni nak kongsikan satu lagi resepi kuih kaswi yg sangat sedap. Kaswi resepi Kak Fida ni mmng sedap sbb selain kenyal kuihnya cantik berkilat. Sebelum ni saya suka kuih kaswi nyonya resepi K.Fida ni. Kawan2 boleh cuba kalau nak merasa. Kali ni saya dah kurangkan sendikit sukatan gula sbb takmo terlalu manis kuihnya. Pada peminat kuih kaswi tu, boleh cuba resepi ni...mmng sedap..tak pernah jemu makan kuih ni...selamat mencuba...





Bahan-bahan ( loyang 10x10 inc )
  • 280 gm tepung gandum
  • 80 gm tepung kanji / tpng ubi
  • 40 gm tepung hoen kwee
  • 780 ml air
  • 2 sudu kecil air kapur
  • sedikit warna coklat-jika perlu
Bahan perlu di masak
  • 300 gm gula melaka/ gula merah*
  • 125 gm gula pasir*
  • 500 ml air*
  • 1/2 sk garam*
  • 3 helai daun pandan* - disimpul
Cara-cara
  1. Campur ketiga-tiga jenis tepung, 780ml air dan air kapur, kacau dan ketepikan.
  2. Masak gula melaka/gula merah, gula pasir, garam dan daun pandan dengan 500ml air hingga mendidih dan gula larut.
  3. Tapis air gula yang masih panas ke dalam campuran tepung dan kacau rata. Masukkan secukup pewarna coklat,kacau rata dan tapis lagi adunan.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang/acuan yang disapu minyak dan dipanaskan dulu.Kukus selama 45 min sekiranya guna loyang dan kukus 20 minit sekiranya guna acuan kecil.
  5. Biar kuih benar2 sejuk dan boleh dipotong dan sajikan dengan kelapa parut kukus.

Thursday, February 6, 2014

Karipap Rangup (Guna 3 jenis tepung)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Karipap ni saya buat gara2 ada lebihan inti karipap semalam. Biasanya kalau buat inti, mesti banyak sekali....senang nak buat kuih2 yg berkaitan. Hari ni merajinkan diri buat karipap atas permintaan keluarga tersayang. Kebetulan Seri cuti SPM, mmng banyaklah tolong mama di dapur. Bila bab kelim karipap ni, dia gak yg menyudahkannya. Mama suka bab goreng karipap, bila angkat kuih je....senyap2 je rasa.....tau2 bila siap goreng,perut dah kenyang...kan...

Saya suka guna resepi yg menggunakan 3 jenis tepung ni, selain tak berminyak hasilnya...ianya rangup sekali. Cuma yg tak berapa cantik permukaannya sedikit berjerawat pasir. Walau dah guna api kecil, tetap keluar jerawat pasir tu.....he3...tapi rasa maintain sedap dan rangup...mmng puashatilah, sbb tu saya guna resepi ni lagi. Terima kasih penyumbang resepi asal. Kawan2 juga boleh lihat resepinya diSINI...



Wednesday, February 5, 2014

Bun Kari Kentang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Hari ni merajinkan diri buat bun kari utk minum petang merangkap sarapan esok pagi sekali. Kali ni buat doh uli guna tangan je, malaslah plk nak guna BM. Resepi Che Mat ni mmng mudah sngt, saya kerap guna resepi ni utk buat apa2 jenis roti yg berkaitan. Kalau guna resepi ni, hasilnya dpt dlm 10 ketul bun. Sesuai sangatlah bagi yg keluarga kecik tu. Saya buat 2 kali ganda dari resepi ni sbb anak2 mmng suka, bolehlah di bawa bekal ke sekolah. Pada yg teringin tu, bolehlah cuba resepi ni..meh tngk resepinya...



BAHAN DOH :-)
  • 250 gram tepung roti (high protein flour)
  • 50 gram gula halus @ gula kastor
  • 1/2 camca teh garam halus
  • 10 g susu tepung
  • 1/4 camca teh bread improver
  • 1/4 camca teh bread softerner
  • 30 g telur (pecahkan 1 biji, kacau sedikit dan timbang)
  • 6 gram instant yeast
  • 20 gram mentega
  • 125 ml air suam (kalau guna Breadmaker guna air biasa)
CARA MEMBUATNYA :-)

UNTUK DOH :-
  1. Larutkan yis dalam air suam, biar berbuih.
  2. Satukan semua bahan lain kecuali mentega, masukkan bancuhan yis dan gaul rata hingga menjadi doh.
  3. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang kenyal dan anjal (kurang lebih 20 minit).
  4. Bulat2kan doh, letak dalam bekas dan balut dengan plastik bersih, biarkan 45 minit hingga naik.(Yatie uli guna tangan je...)
KAEDAH LAIN :-
  1. Satukan semua bahan2 untuk doh dalam breadmaker, pilih setting untuk "DOH" dan tekan "ON", tunggu hingga siap (selalunya BM mengambil masa 30 minit menguli dan 1 jam memerap, ikut jenis BM masing2).
BAHAN INTI
  • 6 biji kentang
  • 3 sudu besar kari ayam/daging
  • 1 biji bwg besar
  • 2 ulas bwg putih
  • 2 sudu besar udang kering
  • 1 cwn daging /ayam kisar
  • garam dan gula
  • air secukupnya
  • minyak utk menumis
Cara Penyediaan Inti
  1. Kentang dikupas dan dipotong dadu dan ketepikan.
  2. Blend bawang besar, bawang putih dan udang kering. Tumiskan bhn2 tersebut hingga naik bau. Masukkan pes kari dan kacau rata. Kemudian masukkan kentang, daging hancur,air dan garam serta gula secukup rasa. Masak dngn menggunakan api sederhana sehingga kentang empuk dan air kering.
  3. Setelah masak,angkat dan sejukkan.
 UNTUK BUN KARI :-
  1. Bagi2 kan doh kepada 9 bahagian (atau mengikut kuantiti yang diinginkan), leperkan doh, isi satu camca besar inti, dan cantumkan.
  2. Bulat2kan, susun dalam dulang pembakar yang telah disapu dengan mentega.
  3. Buat hingga siap. Sapu sedikit air pada permukaan doh roti.
  4. Tutup dengan kitchen towel dan biar 45 minit
  5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 200C selama 20 minit atau hingga masak. Keluarkan dari oven dan sapu dengan mentega semasa roti masih panas....

Tuesday, February 4, 2014

Kari Kepala Ikan Merah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Hari ni saya masak kari ikan merah. Kalau masak kepala ikan je, sian pulak kat anak2 sbb tak pandai makan, lagipun mmng tak elok kan anak2 makan kepala ikan. Kali ni saya masak sekor ikan merah, jadi dapatlah anak2 makan isinya. Saya mmng jarang masak kari ikan atau ayam, kalau masak lauk kari, mesti dah terbayangkan roti jala, roti canai ataupun lempeng pekak je. Sedap betul kalau di gandingkan dngn kari ikan ni....kan..

Sebenarnya teruja tngk Mat Gebu masak kari kepala ikan jenahak semalam, kebetulan arini nak masak ikan merah....jadi mmng sesuailah di masak kari. Kalau tak, maunya di masak asam pedas je. Terima kasih Che Mat berkongsi resepi ni, izinkan akak kongsikan resepinya ya.



BAHAN-BAHANNYA :-)
  • 1 ekor ikan merah
  • 2 biji terung ungu
  • 1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
  • 1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
  • 1 keping asam gelugor
  • 3 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
  • 1 camca besar cili kisar
  • 1/4 cawan pati santan
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci kunyit hidup
BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
  • 4 biji bawang merah kecil, hiris
  • 2 ulas bawang putih, hiris
  • 2 tangkai daun kari, dilurut
  • 1/3 camca teh jintan halus
  • 1/3 camca teh jintan kasar
  • 1/3 camca teh biji sawi
  • 1/3 camca teh halba
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dipotong kepada beberapa bahagian, cuci dan perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 15 minit, cuci bersih dan toskan. Terung dikerat 2 setiap 1, kemudian belah 2 setiap keratan. Dan belah 2 tapi tak putus untuk setiap kerata. Rendam. Satukan bahan kisar halus dan rempah kari, kacau hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga rempah wangi dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml), kacau dan masukkan asam gelugor. Bila mendidih, masukkan kepala ikan, masak sekejap dan boleh masukkan terung (toskan) dan cili hijau dan merah. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih hingga terung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Saturday, February 1, 2014

Bingka Pandan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Kuih bingka yg kerap saya buat dan semestinya mudah je penyediannya. Ramai kwn2 di luar sana yg buat bingka pandan ikut resepi Joayee ni.Pada yg belum mencuba tu, bolehlah cuba resepi mudah ni...mmng sedap dan lembut je. Resepi sekali lagi saya kongsikan di sini. Jom semak resepi mudah ni...




Bahan- Bahan- (loyang 8x8inci, kalau guna acuan pecah 8-dpt 4 keping kuih)

  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan jus pandan (Yatie kisar 4 helai daun pandan bersama 1 cwn air dan tapiskan)
  • 2 1/4 cawan santan (1 cwn santan pekat, selebihnya tambah air)
  • 2 sudu besar mentega- cairkan dan sejukkan
  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 biji telor
  • 1/2 sudu teh garam
  • pewarna hijau
  • bijan
Cara-Cara:-
  1. Campurkan kesemua bahan dan blend sampai sebati kecuali bijan.
  2. Masukkan 2 sudu teh minyak dalam loyang dan oleskan rata.
  3. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak telah panas, masukkan adunan tadi.
  4. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180 C guna api atas dan bawah sampai kuning/garing (Yatie bakar selama 1 jam 15 minit, kalau nak garing lagi guna api atas dlm 5 minit terakhir).
Related Posts with Thumbnails